Rabu, 25 Ogos 2010

Piala Juara-Juara Ramadan di antara Taqwa United dan Nafsu City!

Hari ini dah 15 Ramadhan. Sedar tak sedar kite dah sampai ke pertengahan bulan yang mulia ini. Hari nie dah start balik berjuang selepas rehat sejak hari Khamis yang lepas ;).

Anyways, tadi ade hamba Allah telah menforwardkan artikel nie. Sangat best untuk dibaca dan ditenung-tenungkan oleh diri yang senantiasa alpa dan lalai ini..

*******



Tepat jam 7:24 malam nanti, bilal akan meniupkan wisel tanda bermulanya separuh masa kedua perlawanan akhir, Piala Juara-Juara Ramadan di antara Taqwa United dan Nafsu City. Pengkritik dan penganalisa bola sepak tanah air (ustaz-ustaz) telah banyak memberikan pandangan serta komentar yang pedas tentang persembahan longlai pasukan tempatan, Taqwa United dalam tempoh separuh masa pertama perlawanan di konti-konti Masjid berdekatan.


Untuk makluman saudara sekalian, Taqwa United sedang ketinggalan 3-0 oleh seteru tradisi, Nafsu City. Dua gol daripada penyerang berbisa Nafsu City iaitu Emmanuel Amarah manakala satu lagi gol daripada Carlos Tamak meletakkan pasukan mereka sebelah tangan menggenggam piala teragung buat umat. Strategi 3-4-4 dengan 4 orang striker yang digunakan team Nafsu City sukar dikekang barisan pemain muda United. Barisan pertahanan team tempatan yang diketuai oleh Zikir Selawat dan pemain kelahiran Narathiwat, Wirid Harian lemas dalam asakan rangkaian serangan emas yang dibarisi David Serakah, Carlos Tamak, Mario Berahi dan Emmanuel Amarah (Pemenang Kasut Emas Liga Juara Ramadan musim lalu dengan 30 gol setiap hari).


Penganalisa berpendapat jurulatih pasukan Taqwa United, Sir Iman DHati perlu melakukan rombakan besar-besaran bukan sahaja dari sudut taktik malahan pemain. Pemain-pemain veteran yang longlai seperti Pose Kosong dan Tido Slalu perlu diganti dengan pemain muda berbakat seperti Ikhlas Sedekah atau Tadarus Quran demi memantapkan jentera tengah pasukan Taqwa United. Pemain-pemain veteran kelihatan tidak bermaya dan gagal mengekang kelincahan Gareth Boros, Yaya TakIngatDosa dan James Maksiat yang menggunakan kaum Hawa sebagai alat menganggu konsentrasi pemain Taqwa United terutama di sudut padang sekitar pusat membeli-belah dan bazaar Ramadhan.


Begitu juga dengan rangkaian serangan pasukan United yang diterajui Tahjud-Din dan Munajat Malam, MM perlu dikerah untuk beraksi di segenap kotak sejadah bagi mengucar-kacirkan kubu pertahan lawan yang dikawal ketat Jolelon Lagho Kolo TidoLajak dan dibantu oleh Jerome BosanBeribadah, JBB. Tambahan pula, penyerang berkembar itu perlu mengelakkan diri daripada terus diselimuti tembok besar pasukan Nafsu City itu agar gol-gol kemenangan dapat dijelmakan.


Namun penganalisa tempatan begitu optimis bahawa team Taqwa United mampu mengurang defisit tiga gol lawan dalam separuh masa kedua nanti. Dengan ketiadaan ketua jurulatih pasukan City yang digantung, Iblis dan pembantu jurulatih, Satan, pasukan Taqwa United masih berpeluang merangkul kejuaraan kurniaan Ilahi seterusnya meraikan kemenangan di Aidilfitri.


Sewaktu wawancara bersama Sir Iman DHati, anak buahnya bersemangat mengejar bonus dan ganjaran berlipat kali ganda yang dikurniakan pada 10 minit terakhir permainan. Mereka juga berharap tuah Lailatul Qadar menyebelahi mereka untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lalu. Selain itu, beliau juga berharap agar ibrah Nuzul Quran dapat dijadikan tonik kemenangan dan pembakar semangat buat pasukan muda United mengejar impian mereka bergelar Juara.

Oh ! Kelihatan, penyokong pasukan Nafsu City dan Taqwa United sudah mula memenuhi semula tempat duduk masing-masing. Penyokong kedua-dua pasukan bersorak bersungguh-sungguh demi membangkitkan semangat team kesayangan mereka. Team sorak Nafsu City dengan pakaian yang menjolok mata dan mengurangkan pahala manakala team sorak Taqwa United dengan pakaian seorang Muslim sejati juga telah berkumpul di tepi padang untuk terus menghangatkan bahang perlawanan.


Siapakah yang akan memenangi perlawanan berprestij ini?


Layakkah team Taqwa United menerima imbuhan pelepasan api neraka seperti yang dijanjikan Ilahi selepas tamat perlawanan? Atau kemenangan akan bertukar tangan kepada pasukan yang berbelanja besar, Nafsu City musim ini ? Jika kemenangan bertukar tangan maka imbuhan kemenangan yang diperolehi akan dijadikan modal oleh Iblis dan Satan untuk terus berbelanja besar pada musim hadapan mengikat pemain-pemain terbaik dunia seterusnya menutup peluang pasukan lain mengejar impian akhirat.


Sama-sama kita saksikan kesudahan perlawan akhir ini.


Sekian dari saya, Hizbullah Awang untuk anda

*****
 
Best kan?

0 comments:

Catat Ulasan